Ulasan soalan pemahaman komsas 2008

ULASAN SOALAN PEMAHAMAN NOV 2008

Soalan 2(a): Pemahaman berdasarkan petikan rumusan.

(i) Berikan maksud rangkai kata memberikan impak.
KK : Berikan.

Jawaban contoh:
Maksud rangkai kata memberikan impak ialah mendatangkan kesan.


(ii) Pengarang mengemukakan beberapa bukti yang menunjukkan penglibatan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas. Nyatakan bukti-bukti tersebut.
KK : Nyatakan.

Jawaban contoh :
Bukti yang menunjukkan penglibatan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas ialah pembabitan Malaysia bermula pada awal tahun 1980-an. Negara juga telah melaksanakan program penghantaran angkasawan pertama ke angkasa lepas disamping pelancaran tiga buah satelit ke angkasa lepas.

(iii) Sebagai murid yang berwawasan, jelaskan persediaan-persediaan yang perlu anda lakukan supaya terpilih sebagai calon angkasawan pada masa akan datang.
(KK) - Sebagai murid berwawasan.
Jelaskan.

Jawaban contoh :
Sebagai murid berwawasan saya akan membuat persediaan dari segi fizikal supaya tubuh badan saya cukup sihat untuk menjalankan tugas sebagai angkasawan. Saya akan mencari maklumat yang banyak berkaitan bidang angkasa lepas daripada internet, buku ilmiah mahu pun media massa supaya pengetahuan saya cukup mantap dalam bidang ini. Saya juga perlu bersedia dari segi mental supaya sedia bersaing dan sanggup berkorban demi menjayakan tugas sebagai angkasawan.

Nota : Unsur keterangan dijelaskan selepas perkataan supaya. Biasakan menjawab soalan seperti ini dengan unsur keterangan.

Soalan 2 (b) : Pemahaman berdasarkan petikan cerpen, "Di Sisi Rinda"

(i) Berdasarkan petikan di atas, nyatakan masalah-masalah yang dihadapi oleh Jumari Jipan untuk menjaga Deliah.
(KK) - Nyatakan.

Jawaban contoh:
Masalah-masalah yang dihadapi oleh Jumari Jipan untuk menjaga Deliah ialah dia tidak dapat melayan Deliah di dalam botnya di tengah laut. Keadaan tempat Jumari Jipan bertugas iaitu di dalam bilik enjin yang pantas tidak sesuai untuk kanak-kanak seperti Deliah. Jumari Jipan juga bimbang akan keselamatan nyawa Deliah kerana botnya mungkin terkena bom yang dilemparkan oleh tentera Jepun.

(ii) Jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membela nasib kanak-kanak seperti Deliah.
(KK) - Jelaskan.

Jawaban contoh :
Untuk membela nasib kanak-kanak seperti Deliah, saya akan membantu menempatkannya di rumah anak yatim supaya Deliah mendapat perlindungan daripada bahaya. Disamping itu saya juga akan membantu mencari bantuan kewangan, pakaian dan makanan untuk Deliah supaya Deliah tidak menghadapi masalah keperluan harian. Saya juga boleh menjadikan Deliah sebagai anak angkat supaya Deliah mendapat kasih sayang yang secukupnya.

(iii) Berikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan di atas dan dua persoalan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen.
(KK) - Berikan.


Jawaban contoh :
Satu persoalan yang terdapat dalam petikan ialah sifat tanggungjawab sesama insan iaitu Jumari Jipan berasa bertanggungjawab memelihara Deliah yang kehilangan seluruh ahli keluarga akibat peperangan. Persoalan pertama dalam keseluruhan cerpen ialah kepercayaan masyarakat kepada unsur-unsur magis iaitu Juamri Jipan dan Deliah percaya kepada kewujudan sebilah keris yang dinggap sakti. Persoalan lain daripada keseluruhan cerpen ialah kezaliman tentera Jepun iaitu tentera Jepun tidak mengira sasaran serangan sama ada orang awam seperti orang tua dan kanak-kanak ataupun sasaran tentera.

Nota:
Unsur keterangan selepas perkataan iaitu boleh ditiadakan kerana kata kunci soalan ialah berikan. Namun demikian unsur keterangan contoh patut diletakkan sebagai bahan jawaban untuk menguatkan isi.

Soalan 2(c) - Pemahaman berdasarkan petikan prosa klasik, "Peminangan Puteri Gunung Ledang"

(i) Berikan maksud rangkai kata kabullah tuan puteri akan kehendak raja itu.
(KK) - Berikan.

Jawaban contoh :
Maksud rangkai kata kabullah tuan puteri akan kehendak raja itu ialah Puteri Gunung Ledang memberi persetujuan untuk menerima peminangan sultan.

(ii) Apakah tindakan-tindakan Tun Mamat setelah mendengar kata-kata Dang Raya Rani?
(KK) - Apakah.

Jawaban contoh :
Setelah mendengar kata-kata Dang Raya Rani, Tun Mamat turun dari puncak Gunung Ledang untuk menemui Laksamana dan Sang Setia. Segala kata Puteri Gunung Ledang kemudian diceritakan kepada Laksamana dan Sang Setia.

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah Puteri Gunung Ledang memberikan syarat-syarat peminangan yang sukar untuk ditunaikan ?
(KK) Pada pendapat anda.
Mengapakah

Jawaban contoh :
Pada pendapat saya,Puteri Gunung Ledang memberikan syarat-syarat peminangan yang sukar untuk ditunaikan kerana Puteri Gunung Ledang ingin menolak pinangan sultan secara terhormat. Puteri Gunung Ledang mengenakan syarat sedemikian untuk menguji kesungguhan raja Melaka yang ingin meminangnya.


Soalan 2(d): Pemahaman berdasarkan , "Pantun Lapan Kerat"

(i) Berikan maksud pandai-pandailah membawa diri.
(KK) Berikan.

Jawaban contoh:
Maksud pandai-pandailah membawa diri ialah kita perlu bijak berdikari.

(ii) Apakah yang wajar dilakukan oleh seseorang ketika berada di rantau orang ?
Kemukakan tiga pandangan anda.
(KK): Apakah
Kemukakan

Jawaban contoh:
Ketika berada di rantau orang kita perlu bersikap merendah diri, bercampur-gaul dengan masyarakat setempat disamping mempelajari bahasa dan budaya masyarakat di tempat kita berada.

(iii) Huraikan dua nilai kemanusiaan yang terdapat dalam puisi tersebut.
(KK): Huraikan.

Jawaban contoh:
Nilai kemanusiaan pertama dalam puisi di atas ialah bersukur. Kita wajib bersyukur terhadap segala nikmat yang Tuhan kurniakan kepada kita. Nilai kemanusiaan kedua ialah bwebudi bahasa. Kita perlu menunjukkan sifat berbudi bahasa dengan cara melayani tetamu dengan baik dan mempelawa mereka makan bersama-sama kita.

Sumber: http://bm2kerusi.blogspot.com/

Panduan mejawab soalan komsas

26 markah [35 - 9 daripada Pemahaman Umum]

Walaupun markahnya 26 sahaja dengan 8 -9 soalan daripada 3 bahagian, namun kalau anda peka dan tahu teknik untuk mendapatkan markah atau menjaga markah supaya tidak diambil @dipotong @didenda oleh pemeriksa, senang-senang sahaja anda akan mendapat markah penuh. Tak percaya? Ikut nasihat ini:

  • Baca soalan dan jawab berdasarkan kehendak soalan. [mungkin anda akan kata, memanglah... tapi ketahuilah murid-murid sekalian, banyak pelajar yang tersilap kerana tidak menjawab soalan yang ditanyakan.]
  • Jangan pula tak jawab soalan dan dibiarkan kosong. Sah 0 markah; dapat juga markah kan? Tapi kosonglah.
  • Apabila menjawab soalan, pastikan anda menjawab soalan itu dengan lengkap. Tatabahasa mesti betul. Ejaan dan tanda baca mesti betul. Jangan nak cepat, tulis tu main tarik saja, sampai n jadi u dan sebagainya. Jangan pula buat ejaan seperti yang biasa dalam dunia siber atau sms. Nahas tu! [Nampak remeh kan? Tapi perkara ini semua sangat penting. Kadang-kadang kerana kelalaian kita, percuma saja kita buang markah yang amat berharga]
  • Soalan 1 biasanya akan bertanya tentang makna kata atau frasa atau maksud perenggan. Bagi makna kata atau frasa, berikan kata sinonim yang lain. Bagi puisi moden atau tradisional - apabila anda menjawab, sila gunakan bahasa prosa moden. Gunakan ayat anda sendiri. Jangan cedok bulat-bulat ayat pantun, seloka atau sajak itu. Berikan maksud mengikut pemahaman anda (sebagaimana yang anda telah pelajari). Begitu juga dengan prosa tradisional. Guna ayat sediri iaitu bahasa moden. (jangan pula guna bahasa sms - parah)
  • Soalan kedua biasanya soalan kbkk. Jawaban bagi soalan ini hendaklah daripada calon sendiri @ pendapat calon. Sekiranya calon menuliskan isi-isi atau perkara-perkara yang yang ada dalam petikan, markah 0 akan diberikan. [tak jawab soalan- anda didenda]. Namun demikian, jawaban bagi soalan ini hendaklah berkaitan dengan topik, jangan suka-suka hati nak beri pendapat sendiri tetapi tak ada kaitan.
  • Sekiranya soalan yang ditanyakan itu wajar atau tidak, anda harus bijak. Walaupun anda boleh memilih sama ada wajar atau tidak, tetapi anda haruslah bijak memilih yang mana lebih baik, yang sepatutnya, dan yang mudah untuk ditanda oleh pemeriksa atau yang pemeriksa selesa. (ini pendapat saya sahaja)
  • Pastikan anda memberikan pendapat yang dihuraikan. Kalau boleh berikan beberapa pendapat. Tulis lebih tak apa asal tatabahasa terpelihara. Saya selalu bercakap kepada pelajar-pelajar saya bahawa kalau seseorang itu mahu mandapat A dalam BM, dia hendaklah rajin menulis, menulis dan menulis. Jangan lupa, serlahkan kematangan anda dalam huraian pendapat anda itu.
  • Soalan ketiga biasanya berkaitan dengan unsur komsas. Dalam prosa tradisional, jarang ada soalan aspek komsas. Tahun ini tak tahulah.
  • Aspek Komsas yang biasa ditanyakan ialah tema, persoalan, watak dan perwatakan, gaya bahasa, latar, nilai dan sebagainya sebagaimana yang anda telah pelajari. Kadang-kadang ada soalan begini:
  • Jelaskan 2 nilai berdasarkan petikan dan dua nilai berdasarkan keseluruhan cerpen. Bagaimana nak jawab? Dua nilai daripada petikan ialah nilai kasih sayang dan tabah. Mama Zel amat menyayagi Zel dan memberikan hadiah sebuah komputer bersempena hari lahirnya. Mama Zel tabah menghadapi pelbagai dugaan hidup sebagai ibu tunggal yang perlu mencari sara hidup sendiri manakala dua nilai daripada keseluruhan cerpen pula ialah nilai tekun dan nilai yakin diri. (kemudian berikan contoh kedua-dua nilai tersebut).
  • Nampak macam panjang kan? Tapi tak apa, lebih baik bagi lebih daripada beri kurang. Objektif kita ialah untuk mendapatkan markah yang diperuntukkan itu.
  • Jangan keliru antara nilai dan persolan kerana kadang-kadang ada nilai yang juga merupakan persoalan. yang pentingnya bagaimana anda menuliskan nilai itu sebagai persoalan. Contoh: kasih sayang ialah nilai, bagaimanakah kasih sayang menjadi persoalan? Salah satu caranya ialah dengan meletakkan perkataanpersoalan di hadapan kasih sayang >>> persoalan kasih sayang atau tambahkan perkataan lain contoh antara keluarga. Persoalan kasih sayang antara ibu dan anak dsb. Yang pentingnya, apabila anda menjawab soalan persoalan, jangan sesekali samakan persoalan dengan nilai kerana pemeriksa akan keliru untuk memberikan anda markah. Jangan kelirukan pemeriksa.
  • Apa lagi ya? Oh ya, jangan seronok sangat menulis hingga anda mengabaikan masa. Rancang masa anda dengan baik dan jawab semua soalan. Saya doakan anda semua akan berjaya dengan cemerlang dalam SPM khususnya dalam BM.

Tajuk-tajuk komsas yang belum pernah disoal sehingga 2008
CERPEN
1. Annyss Sophillea
2. Lambaian Malar Hijau
3. Virus Zel Untuk Abah

DRAMA
1. Serunai Malam
2. Kerusi

PROSA KLASIK
1. Sabor

SAJAK
1. Duhai Pentafsir
2. Di Ruang Gemanya
3. Anak Laut
4. Derita Pertama
5. Jalan jalan raya kotaku

PUSI
1. Pantun Kiasan
2. Seloka Pak Kaduk
3. Pantun Enam Kerat
4. Syair Kelebihan Ilmu
Strategi menjawab rumusan SPM

BAHASA MELAYU

SIJIL PELAJARAN MALAYSIA

KOD 1103/2

KERTAS 2

SOALAN 1: Rumusan

(30 markah)

STRATEGI MERUMUS KARANGAN

PETIKAN 1

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan kutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semngat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlbih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling mudah memberikan petolongan pada saat kita ditimpa bencana. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. Jiran yang berbeza latar belakang pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan memberikan manfaat yangbbesar kepada kita. Hal ini kerana mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama. Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan setempat daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama dan keprihatinan sesama jiran. Gejala sosial seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat. Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.

Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Kejiranan, Cara Kekalkan

Hubungan Baik, oleh Ahmad Tarmizi Zakaria,

Utusan Malaysia, Jun 2003)

A: STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSURAT

STRATEGI 1:

Baca dan fahamkan petikan rumusan yang diberi sekurang-kurangnya 2 kali,

- Bacaan kali pertama untuk dapatkan gambaran keseluruhan petikan.

(masa dicadangkan 2 minit)

- Bacaan kali kedua untuk dapatkan pemahaman.

(masa dicadangkan 5 minit)

STRATEGI 2:

Tentukan kata tugas dalam soalan (Fokus 1 dan Fokus 2) dan gariskan

perkataan-perkataan tersebut.

  • Fokus 1 = Isi tersurat

  • Fokus 2 = Isi tersirat

Sebagai contoh dalam petikan contoh 1 Fokus 1 iaitu faedah-faedah hidup berjiranmerupakan fokus untuk isi tersurat manakala Fokus 2 iaitu cara-cara memupuk semangat kejiranan pula merupakan fokus untuk isi tersirat.

CONTOH 1

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang

faedah-faedah hidup berjiran [ISI TERSURAT] dan cara-cara memupuk

semangat kejiranan. [ISI TERSIRAT] Panjang rumusan hendaklah tidak

melebihi 120 patah perkataan.

STRATEGI 3:

Baca perenggan 1 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat

untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu

faedah-faedah hidup berjiran.

Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemamtapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam (menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni). [ISI 1]

Baca perenggan 2 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat

untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu

faedah-faedah hidup berjiran.

Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling (mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpabencana) [ISI 2]. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. (Jiran yang berbeza latar belakang) pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan (memberikan manfaat yang besar kepada kita) [ISI 3]. Hal ini kerana (mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama).[ISI 3-PILIHAN 2]Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu (mampu menjamin keselamatan setempat) [ISI 4] daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

Baca perenggan 3 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat

untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu

faedah-faedah hidup berjiran.

(Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah) [ISI 5] dengan semangat kerjasama dan keperihatinan seama jiran. (Gejala sosial) seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah (dapat dibendung) [ISI 6] jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya (dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat).[ISI 7] Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.

Baca perenggan 4 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat

untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu

faedah-faedah hidup berjiran.

Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. (Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran). [ISI 8] Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya (memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka).[ISI 9] Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Baca perenggan 5 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat

untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu

faedah-faedah hidup berjiran.

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam (menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara) [ISI 10] Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

STRATEGI 4:

Senaraikan Fokus 1 (isi-isi tersurat) yang terdapat dalam petikan tersebut dan

kira jumlah perkataannya.

Isi-isi Tersurat : faedah-faedah hidup berjiran

- Dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni [ 8 ]

- Mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana. [ 8 ]

- Jiran yang berbeza latar belakang memberikan manfaat yang besar kepada

kita. [ 11 ]

Atau

- Dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka [ 8 ]

- Mampu menjamin keselamatan setempat. [ 4 ]

- Dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan

kesejahteraan masyarakat. [ 9 ]

- Gejala sosial dapat dibendung. [4 ]

- Dapat menjana program yang menyumbang kabijakan kepada masyarakat

setempat. [ 9 ]

- Melahirkan perpaduan sesama jiran. [ 4 ]

- Memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan

perkongsian pintar sesama mereka. [ 11 ]

- Menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. [ 6 ]

STRATEGI 5:

Tulis isi-isi tersurat tersebut menjadi sebuah perenggan yang lengkap.

PERINGATAN:

- Maksimum isi untuk fokus 1 ialah 6 isi. Oleh itu anda tidak perlu

memasukkan kesemua isi kerana jumlah perkataan yang agak terhad.

Adalah dicadangkan jumlah perkataan untuk fokus 1 ialah 60 – 65 patah

perkataan.

- Anda perlu menulis kata tugas untuk Fokus 1 dalam ayat pertama

perenggan isi tersurat.

CONTOH:

Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, dapat membendung gejala sosial serta melahirkan perpaduan sesama jiran.

[ 46 patah perkataan ]

B : STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSIRAT

STRATEGI:

- Isi tersirat dibina berdasarkan Fokus 2 soalan. Isi ini tidak terdapat dalam

petikan yang diberikan. Contoh dalam Petikan 1 Fokus 2 ialah: cara-cara

memupuk semangat kejiranan.

- Isi tersirat dibina melalui tafsiran dan analisis yang mendalam berdasarkan

isi tersurat dan Fokus 2 dalam arahan soalan.

- Binalah perenggan isi tersirat dengan memasukkan sekurang-kurangnya 2 isi

tersirat.

- Kata tugas untuk Fokus 2 perlu dimasukkan dalam ayat pertama perenggan

isi tersirat.

STRATEGI 1:

Kenal pasti dan senaraikan isi tersirat berdasarkan fokus 2 iaitu cara-cara

memupuk semangat kejiranan.

CONTOH :

- Mengadakan majlis gotong royong / aktiviti kemasyarakatan / bersedia

memberi pertolongan / tolong menolong [ konsep: bekerjasama ]

- Mengadakan rumah terbuka / majlis keraian / ziarah menziarahi / perihatin

atau ambil berat hal ehwal jiran / bertanya kabar / pelihara hubungan

kejiranan / bertegur sapa / saling mengenali [ konsep : Interaksi tidak formal ]

- Membuat rondaan bersama pada waktu malam / rukun tetangga.

- Mengadakan tabung kebajikan / kursus/ kempen kejiranan / tabung khairat.

- Mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat / tubuhkan sektor rukun

tetangga / persatuan belia / JKKK [ Konsep : Interaksi formal ]

- Mengadakan hari keluarga / sukaneka / riadah / pertandingan

- Mengikis sikap negatif dalam diri individu / jangan mementingkan diri / tidak

sombong / berbaik sangka dengan jiran .

STRATEGI 2:

Membina perenggan isi tersirat.

CONTOH PERENGGAN ISI TERSIRAT

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan.

[ 23 patah perkataan ]

C : STRATEGI MENGHASILKAN PENDAHULUAN RUMUSAN

STRATEGI :

- Fahami maksud keseluruhan petikan yang diberikan.

- Kenal pasti Fokus 1 petikan tersebut kerana berdasarkan Fokus 1 itulah

penfahuluan rumusan karangan dapat kita hasilkan.

- Anda perlu melakukan pengubahsuaian supaya ayat yang anda bina itu

menjadi ayat anda sendiri.

- Tulis pendahuluan rumusan dalam satu ayat sahaja.

- Mulakan ayat pendahuluan dengan ; Petikan membincangkan /

membicarakan …….

CONTOH PENDAHULUAN:

Fokus 1 : Faedah-faedah hidup berjiran

Pendahuluan:

Petikan membincangkan peranan jiran dalam kehidupan bermasyarakat di

negara kita.

atau

Petikan membincangkan kebaikan / kepentingan / kelebihan / manfaat / hidup

berjiran dalam masyarakat

D : STRATEGI MENGHASILKAN KESIMPULAN RUMUSAN

- Kaji semula fokus soalan sama ada Fokus 1 dan Fokus 2.

- Kesimpulan rumusan hendaklah berdasarkan fokus soalan tersebut.

- Kesimpulan merupakan cadangan / harapan anda terhadap fokus tersebut

berserta kesan atau akibat cadangan / harapan tersebut.

- Anda juga perlu menghubungkan antara cadangan / harapan dengan kesan

atau akibat cadangan dengan menggunakan kata hubung, ‘agar, supaya,

demi’.

- Gunakan penanda wacana atau rangkai kata, frasa yang menunjukkan

bahawa ayat tersebut merupakan ayat kesimpulan.

- Contoh : Kesimpulannya, ….Justeru, …

CONTOH KESIMPULAN:

Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang

sejahtera dapat diwujudkan

Atau

Justeru, semua pihak perlu menjalankan tanggung jawab mereka dalam

masyarakat dengan berkesan agar sebuah komuniti yang sejahtera dapat

diwujudkan.

CONTOH PETIKAN RUMUSAN YANG LENGKAP

Petikan membincangkan kebaikan hidup berjiran dalan sesebuah masyarakat.

Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, serta dapat membendung gejala sosial dan melahirkan perpaduan sesama jiran. Hidup berjiran juga dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan.

Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang sejahtera dapat diwujudkan.

[ 100 patah perkataan]

Pemarkahan & cara menjawab

Pemarkahan

  • Bahagian ini diperuntukkan sebanyak 30 markah

  • 20 markah untuk bahagian isi dan 10 markah untuk aspek bahasa

  • Pengenalan – 2 markah

  • Setiap isi tersurat dan tersirat – 2 markah

  • Kesimpulan – 2 markah

  • Aspek bahasa markah yang diperuntukkan ialah separuh daripada markah isi.Aspek bahasa seperti pengolahan bahasa, penggunaan istilah dan kosa kata, tanda baca dan sebagainya akan diteliti sebelum markah untuk bahagian bahasa diberikan.

Perenggan

  • Pelajar bebas menulis perenggan sama ada dalam satu, dua, tiga, atau empat perenggan.sebenarnya, tidak ada peraturan khusus tentang bilangan perenggan. Pelajar dicadangkan supaya menulis rumusan dalamempat(4) perenggan seperti di bawah:

  • Perenggan 1 – Pengenalan

  • Perenggan 2- Isi-isi tersurat

  • Perenggan 3 – Isi-isi tersirat

  • Perenggan 4 – Kesimpulan

Bilangan Perkataan

  • Pelajar dikehendaki menulis rumusan antara 100 – 120 patah perkataan.Jika melebihi jumlah perkataan yang dinyatakan isi rumusan yang terdapat dalam perkataan atau ayat selebihnya tidak akan dibaca atau dinilai.

Contoh Soalan : Baca petikan di bawah dengan teliti.Kemudian, buat satu rumusan tentang punca-punca berlakunya banjir kilat dan kesan-kesannya.Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Panduan Menulis Rumusan

Pendahuluan

  • Satu ayat yang dapat menggambarkan kandungan petikan secara keseluruhan.

  • Contoh pendahuluan: Petikan menyatakan…..(unsur 1)….(tema)

    Dengan berdasarkan rumus di atas, ayat pendahuluan, perkara yang perlu ada ialah :

    1) Unsur 1- Mestilah terdiri daripada perkataan yang bersinonim dengan tugasan soalan yang menyatakan isi tersurat.

    2) Tema Petikan

    3) Bilangan perkataan : (8) -(12) patah perkataan.

  • Contoh Ayat :

    Petikan menyatakan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di Kuala Lumpur.

    1) Unsur 1- Faktor-faktor (perkataan yang bersinonim dengan punca-punca).

    2) Tema Petikan – Banjir Kilat

    3) Bilangan perkataan : 8 patah perkataan.

  • Pendahuluan hendaklah ditulis dalam satu ayat sahaja.

    Jangan menyalin bulat-bulat seperti yang terdapat dalam soalan.

  • Kata tugas atau kata kunci yang kedua dalam soalan rumusan tidak boleh dimasukkan dalam bahagian pengenalan.

  • Jika pelajar menulis pendahuluan seperti di bawah ini, anda akan memperoleh satu(1) markah sahaja.

    1- “Petikan menyatakan punca-punca berlakunya banjir kilat.”

    2- “ Petikan menyatakan punca-punca berlakunya banjir kilat dan langkah-langkah untuk menanganinya.”(Langkah-langkah ialah kata tugas yang menghendaki calon mengemukakan iai tersirat.)

    Isi -isi Tesurat

  • Isi -isi yang terdapat dalam petikan berdasarkan kata tugas atau kata kunci yang pertama dalam soalan.

  • Mencari sekurang-kurangnya 6 isi tersurat daripada petikan, jika gagal mendapat jumlah itu, pelajar mestilah mengemukakan isi terurat yang lebih dalam gabungan 2:6, 3:5 atau 4:4.

  • Ayat-ayat hendaklah diolah dan disalin semula tanpa mengambil ayat-ayat tersebut bulat-bulat daripada petikan.

  • Antara satu ayat dengan ayat yang lain pula, gunakan penanda wacana yang sesuai seperti selain itu, seterusya, oleh itu dan sebagainya.

  • Contoh-contoh isi tersurat:

    1- Hujan lebat hampir dua jam

    2- Sistem perparitan gagal diselenggara dengan sempurna.

    3- Tiada sistem amaran awal.

    Jawapan lengkap;

    Banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur berpunca daripada hujan lebat yang turun hampir dua jam. Selain itu, sistem perparitan yang gagal diselenggarakan dengan sempurna menyebabkan laluan air tersekat. Ketiadaan sistem amaran awal pula telah memburukkan keadaan.

Isi-isi Tersirat

  • Pelajar dikehendaki menulis sebanyak 2,3 atau 4 isi tersirat.

  • Isi-isi tersirat yang dikemukakan mestilah tiada dalam petikan dan berdasarkan kata tugas atau kata kunci kedua dalam soalan rumusan.

Kesimpulan

  • Contoh format untuk ayat penutup/kesimpulan :

    Kesimpulannya,…………unsur1(Berbentuk.cadangan)………………..supaya/agar/bagi/kerana………………(Tema)………………..unsur 2…..(memperlihatkan kesan)

  • Kesimpulannya, semua pihak mestilah bekerjasama menangani masalah banji kilat supaya aktiviti pembangunan dan perniagaan berjalan lancar.

  • Katakan Tidak Kepada Dadah

    Katakan Tidak Kepada Dadah
    Dadah Membunuh

    Pelajar Cemerlang SPM 2004

    Pelajar Cemerlang SPM 2004
    Nur Amalina Che Bakri

    Pelajar Cemerlang SPM 2006

    Pelajar Cemerlang SPM 2006
    Siti Fatimah Mukhtar

    Pelajar Cemerlang SPM 2007

    Pelajar Cemerlang SPM 2007
    Azali Azlan

    Wajah Cemerlang SPM 2008

    Wajah Cemerlang SPM 2008
    Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal

    20 A Dari Rumah Ini

    20 A Dari Rumah Ini
    20 A Dari Rumah Ini

    Perisian Percuma

    Perisian Percuma
    Flash

    Perisian Percuma

    Perisian Percuma
    Opera

    Perisian Percuma

    Perisian Percuma
    Win Zip
    Powered By Blogger

    sembang2


    ShoutMix chat widget

    Pengikut